Memang tidak boleh dinafikan, bila sebut berkenaan IPTS semua lepasan SPM, STPM, DIPLOMA dan lain pasti akan berfikir dua kali disebabkan banyak hal yang berlalu selama ini, disebabkan infomasi yang sering berubah-ubah dan boleh dikatakan IPTS "Cekik Darah" mahalnya.
Dengan ini saya ingin berkongsi serba sedikit tentang cara-cara untuk mengenalpasti jika IPTS tersebut mempunyai ciri-ciri penipuan terhadap pelajar, tetapi saya ingatkan tidak semua IPTS melakukan gejala ini, hanya segelintir sahaja maka sila berhati-hati di kemudian hari.
Sijil kelayakan diikiraf atau sebaliknya oleh MQA
IPTS yang berprestij kebanyakan kursus pengajian mereka diiktiraf oleh MQA. Untuk mengenal pasti sama ada kursus pengajian tersebut mendapat pengiktirafan, anda boleh buat semakan di laman rasmi MQA. Boleh buat semakan dengan KLIK DISINI. Kalau katakan, kursus yang ingin diambil tiada dalam senarai MQA, kemungkinan kursus berkenaan tidak menerima kelayakan penuh lagi. Jika kursus tersebut belum menerima kelayakan penuh BUKAN bermaksud kursus tersebut tidak diiktiraf, tetapi kursus tersebut belum ada lagi kumpulan pelajar pertama yang menamatkan pengajian.
Jadi, pihak MQA akan berikan pengiktirafan separuh dahulu dan tidak menyenaraikan di laman rasmi mereka. Jika sudah ada graduan pertama yang tamat pengajian dalam kursus tersebut, barulah kelayakan penuh akan diberikan. Kebiasaanya adalah kursus yang baru diperkenalkan. Jadi, anda boleh minta terus kod program MQA bagi kursus tersebut daripada IPTS. Jika mereka dengan mudahnya memberikan kod program tersebut kepada anda, bermaksud ianya diiktiraf. Tidak ada apa yang perlu dirisaukan.
Baca juga : Tawaran Biasiswa (Scholarship) 2019/2020
Yuran pengajian
Perkara kedua yang anda perlu semak dan sangat penting adalah yuran pengajian setiap semester. Kebiasaanya semester pertama, bayaran yuran agak tinggi kerana anda perlu membayar yuran tertentu sekali sepanjang tempoh pengajian. Jadi perkara tersebut normal. Tetapi jika semester kedua dan seterusnya, yuran akan menjadi lebih rendah berbanding semester pertama. Jadi, anda perlu semak senarai keseluruhan yuran yang perlu dibayar dan caj-caj lain sepanjang pengajian. Jika ada sebarang yuran yang kurang jelas, anda boleh terus bertanya kepada pihak IPTS. Barulah anda tidak mudah ditipu atau secara tiba-tiba mereka meminta anda membayar yuran tertentu. Jika tidak mahu membayar, anda tidak dibenarkan bergraduasi atau meneruskan pengajian dan sebagainya.
Sudah terlalu ramai pelajar yang ditipu dengan taktik sebegini. Jadi fahamkan betul-betul. Yuran boleh disemak di laman rasmi setiap IPTS dan boleh minta pihak pegawai IPTS berikan maklumat mengenai yuran pengajian secara bertulis. Kalau mereka sukar memberikan maklumat yuran kepada anda, tentu ada udang disebalik batu. Jadi sebaiknya berhati-hati.
Tenaga pengajar berkualiti
Bagaimana hendak tahu sama ada tenaga pengajar mereka berkualiti atau tidak. Mudah sahaja, anda boleh terus layari laman web rasmi IPTS tersebut. Semak di bahagian direktori yang memaparkan maklumat tentang tenaga akademik. Lihat kelayakan akademik dan pengalaman mereka. Kelayakan dan pengalaman ini penting kerana, ianya bakal memperlihatkan kualiti pembelajaran yang bakal diperolehi kelak. Kualiti ini penting supaya selepas tamat pengajian, anda menjadi seorang graduan yang berkualiti dan mudah memperolehi pekerjaan.
Kemudahan tempat belajar
Pernah dengar indah khabar dari rupa?. Semasa roadshow bukan main lagi mereka tunjukkan bangunan cantik, bilik kuliah berhawa dingin, kemudahan pembelajaran lengkap tetapi bila masuk mendaftar, mahu pengsan lihat kemudahan yang mungkin anda tak sanggup untuk hadapi sepanjang 3 atau 4 tahun pengajian. Menyesal pun tak guna sebab sudah bayar yuran pengajian. Kalau tarik diri, yuran tidak akan dikembalikan. Jadi kemudahan tempat belajar sangat penting, dari segi itu anda boleh kenalpasti sama ada IPTS tersebut menjaga kebajikan pelajar dengan baik atau sebaliknya.
Maka, sebaiknya pergi melawat dahulu IPTS berkenaan, lihat dengan mata kepala sendiri barulah buat keputusan. Kalau kemudahannya tidak semegah apa yang ditunjukkan, tentu something fishy kan?. Jadi fikirkan semula sebelum teruskan niat untuk sambung belajar disitu. Sudahlah yuran pengajian tinggi, tempat belajar pula macam tempat jin bertandang!. Sedangkan IPTS lain dengan yuran yang sama, malah lebih rendah kemudahannya lebih lengkap contohnya IUKL, Curtin, IUMW, UTP dan sebagainya.
Kemudahan penginapan
Tak semua IPTS menyediakan kemudahan penginapan kepada pelajar. Jika mereka tidak sediakan penginapan, anda perlu lihat kawasan sekitar kampus untuk menyewa penginapan masing-masing. Anda boleh semak dari segi anggaran sewa bulanan di kawasan tersebut termasuk kemudahan awam bas, LRT, MRT dan lain-lain yang bakal memudahkan anda pergi ke kuliah kelak.
Cara menyemak, boleh semak di laman web carian bilik atau rumah seperti ibilik, mudah.my, iproperty dan lain-lain. Kemudian, buka google map, lihat menggunakan statelite. Baru nampak dengan jelas tempat tersebut. Kalau IPTS tersebut jauh dari semua kemudahan awam selain tidak menyediakan kemudahan penginapan berdekatan dengan IPTS, sudah tentu anda perlu membawa pengangkutan sendiri. Ini akan meningkatkan kos sepanjang pengajian. Menyusahkan kan?. Jadi semak kemudahan penginapan dan kemudahan awam lain sekitar kampus IPTS.
Kolaborasi IPTS bersama industri
Terakhir sekali, tamat pengajian tentunya anda ingin segera memperolehi pekerjaan. Jadi, kalau boleh pastikan IPTS tersebut menjalinkan kolaborasi bersama dengan industri. Sekiranya mereka ada jalinkan kerjasama, di akhir pengajian anda akan diberi keutamaan untuk menjalani latihan industri di sana. Jika anda menunjukkan prestasi yang bagus, sudah tentu mereka akan menawarkan pekerjaan terus disitu. Bagus bukan?. Jadi bagaimana hendak tahu jika mereka menjalinkan kerjasama dengan industri?. Boleh semak di laman web IPTS di bahagian collaborations atau partners.
Diharapkan perkongsian ini mampu membuka mata anda semua bahawa, tidak semua IPTS itu menipu tetapi anda yang mudah ditipu oleh sesetengah IPTS. Agen pengambilan pelajar pula majoritinya tidak bertanggungjawab kerana ingin mengaut komisen tinggi sahaja tanpa memikirkan kualiti IPTS yang dicadangkan. Sudahlah yuran mahal, kemudahan pula menyedihkan, kualiti pembelajaran pula teruk. Jadi masih sempat lagi hendak mengubah keputusan anda sebelum terlambat dengan memilih IPTS yang terbaik.
Bagi saya, apa yang penting kualiti. Bayar lebih untuk kualiti yang terbaik. Kenapa tidak kan?. Sebab itulah kami hanya akan mencadangkan IPTS yang terbaik dan berprestij sahaja. Kami sendiri ingin mengubah persepsi pelajar dan ibu bapa yang terlalu bergantung kepada IPTA sedangkan lebih kurang 300,000 yang memohon setiap tahun melalui UPU hanya sekitar 60 ribu orang sahaja yang berjaya ditawarkan. Ke mana selebihnya?. Tentulah ke IPTS tetapi IPTS yang bagaimanakah?. Adakah IPTS tersebut menawarkan pengajian yang terbaik sesuai dengan yuran pengajian yang dikenakan?. Adakah jika anda melanjutkan pengajian ke IPTA, anda dijanjikan peluang pekerjaan. Tidak bukan?. Jadi fikirlah sebaiknya. Diharapkan perkongsian ini dapat membantu anda dan semoga berjaya!.
0 Comments