Balik rumah selepas seharian bekerja, rasa letih, lelah, penat. Masuk rumah, ada makanan atas meja, tetapi dihurungi oleh semut. Dari atas meja anda nampak semut itu bersama ‘bala tenteranya‘ berarak membawa sisa makanan daripada atas meja ke lantai. Terus rasa hilang sabar dan otak mula berfikir cara halau semut dalam rumah yang membuatkan kita rasa tak selesa.
Apa perasaan anda waktu itu? Dengan rasa letih, sudah tentu anda marah
Lantas anda mengambil penyembur racun serangga dan menyembur kepada semut-semut itu tadi.
Tapi nanti dulu!
Kita sebagai umat Islam telah dinasihatkan sebaiknya tidak membunuh semut-semut ini yang merupakan kaum Nabi Sulaiman AS. Selagi semut tidak mendatangkan mudarat sehingg memberi kecelakaan kepada kita, janganlah kita membunuhnya.
Walaupun ada cara dari Barat yang lebih kurang sama, bukankah ada petua tradisional yang lebih murah dan tidak memudaratkan?
Tak boleh bunuh?
Jadi kalau tidak boleh bunuh, bagaimana mahu hadapi masalah semut-semut yang merata-rata di dalam rumah ini? Adakah mahu biarkan?
Jangan bimbang, sebenarnya ada banyak petua untuk menghalau semut selain menyembur dengan racun serangga.
Cara halau semut
Kami akan kongsikan tips-tips dan petua orang lama, iaitu petua tradisional untuk menghalau semut dari rumah anda.
Barang-barang yang diperlukan pula, kebiasaannya memang ada di rumah. Tidak perlu beli penyembur racun serangga.
Selamat pun selamat. Lebih mesra alam sekitar.
Halau semut guna cuka
Ini merupakan kaedah paling digemari ketika ini.
Bagaimana cuka boleh menghalau semut? Boleh pakai ke petua halau semut guna cuka?
Haaa.. Anda perlu tahu cuka mempunyai bau yang sangat kuat dan kandungannya berasid. Ini tidak digemari oleh semut.
Macam mana mahu halau semut dengan cuka? Simbah cuka itu kepada semut ke? Bukan begitu. Anda larutkan cuka secukup rasa dengan air dan masukkan ke dalam botol penyembur kosong. Kemudian semburkan kepada bahagian laluan dan tempat semut memasuki rumah anda.
Ulang semburan untuk beberapa kali. Dalam masa beberapa hari anda akna lihat semut-semut sudah hilang.
Tak semua orang ada cuka yang disimpan dalam rumah. Kalau tidak ada, modalkan duit bawah RM10 untuk beli sebotol cuka di kedai runcit berhampiran.
Cara halau semut dengan kopi
Ya kopi. Kenapa kopi? Seperti cuka, serbuk kopi juga mempunyai bau yang kuat dan boleh menghalau semut.
Tapi jangan pula anda guna teknik yang sama seperti cuka. Anda tidak perlu campurkan dengan air, kalau campur dengan air, lebih baik anda tambah sesudu gula dan minum sahaja!
Sebaliknya anda hanya ambil sedikit serbuk kopi dan taburkan di kawasan laluan masuk semut. Biarkan untuk beberapa hari. Dengan aroma kuat kopi itu, nescaya semut-semut tersebut akan berpindah keluar.
Kalau sudah ada kopi yang diminum hari-hari dalam rumah, ambil sedikit untuk guna. Tak perlu beli. Kalau mahu beli kopi yang baru sekalipun, bei yang murah-murah sahaja.
Basmi semut dengan daun sirih
Ini cara halau semut dengan pokok yang selalunya ada ditanam di luar rumah.
Sama seperti cuka dan kopi, daun sirih mempunyai bau herba kuat yang tidak digemari oleh semut.
Caranya ialah anda cincangkan atau carikkan beberapa helai daun sirih, taburkan di tempat semut berkerumun. Semut pasti tidak akan datang lagi.
Hilangkan semut guna lada
Lada selain memedaskan makanan boleh juga digunakan untuk menghalau semut. Caranya? Air rendaman lada kering disimpan di dalam botol penyembur (seperti air campuran cuka). Kemudian semburkannya di laluan semut.
Selain itu, boleh juga selitkan beberapa cili kering di sekitar laluan semut di rumah anda. Semut tidak akan datang. Pernah anda lihat orang dulu-dulu letak lada, cili kering dalam beras? Inilah sebabnya.
Tips elak semut guna kulit telur
Macam mana nak halau semut guna kulit telur? Mudah saja. Kulit telur dibakar hingga jadi abu, kemudian taburkan abu itu di kawasan laluan semut atau tempat yang sentiasa menjadi tumpuan semut.
Cara menghilangkan semut ini juga berkesan dan boleh digunapakai untuk halau cicak.
Petua halau semut guna daun pandan
Kegunaan daun pandan adalah sama seperti sirih. Semut tidak gemar aromanya.
Cara halau semut dengan daun pandan, penggunaannya juga sama seperti daun sirih.
Cincang halus-halus dan taburkan di kawasan laluan semut.
Pasti berhasil!
Cara halau semut dengan kulit limau
Bau wangian daripada kulit limau dan oren ini tidak digemari oleh semut. Begitu juga serangga lain.
Ini sangat direkemenkan kepada anda.
Mengapa?
Selain halau semut, bau rumah anda juga segar dengan haruman kulit Limau dan Oren.
Bercakap dengan semut
Okay. Ini yang terakhir kalau semua petua di atas tidak berhasil. Bagaimana caranya?
Bercakaplah dengan semut-semut ini. Slow talk kata Mat Saleh.
“Wahai umat Nabi Sulaiman, kamu adalah makhluk Allah yang suka berzikir kepada Nya. Aku tidak mahu apa-apakan kamu. Kalau kamu mahu buat sarang, buatlah di luar rumahku, jangan buat di dalam rumah.”
Lebih kurang macam itulah. Selain guna petua halau semut yang biasa, apa salahnya guna doa. Mohon pada Allah.
Akhir kalam
Jadi macam mana? Apa kata anda cuba petua-petua yang kami senaraikan ini.
Semoga berjaya. Selamat mencuba cara menghilangkan semut dalam rumah yang kosnya tidak sampai sepuluh ringgit pun! Tak perlu racun serangga. Tak perlu bayar mahal-mahal untuk gunakan khidmat pembasmi serangga.
Jika siling rumah berbunyi-bunyi waktu malam, jemput baca cara halau tikus dalam rumah juga.
Semoga bermanfaat.
0 Comments